Pages

Saturday 6 December 2008

KEPENTINGAN PENDIDIKAN JASMANI DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

HALUAN

UCAPAN Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman di Majlis Perasmian Pelancaran Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Menengah Atas pada 9 Mac 2006 di Dewan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien.

Pendidikan jasmani penting pupuk pertumbuhan,
perkembangan pelajar-pelajar

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakat


SEGALA puji-puji Allah Subhanahu Wataala, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga serta sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana limpah rahmat dan hidayah-Nya jua, kita semua petang ini dapat berkumpul beramai-ramai di majlis ini. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Perkembangan Kurikulum dan Jawatankuasa Majlis kerana menjemput saya hadir dan seterusnya merasmikan Pelancaran Buku Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Menengah Atas, Sekolah-sekolah Menengah. Di kesempatan ini saya juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada Jabatan Perkembangan Kurikulum di atas kejayaan di dalam penerbitan sukatan pelajaran ini.

Kementerian Pendidikan pada masa ini sedang dalam proses memperkukuhkan atau 'consolidating' program-program pendidikan yang ada. Ini adalah sebagai usaha Kementerian Pendidikan di dalam memastikan misi baru iaitu 'Pendidikan berkualiti ke arah kemajuan, keamanan dan kemakmuran bangsa' akan dapat dicapai sebagaimana jua yang dihasratkan. Apa jua program-program pembaharuan yang difikirkan itu setentunyalah memerlukan penelitian yang terperinci supaya ianya akan menepati kehendak dan perlaksanaannya nanti adalah lebih teratur dan terancang. Sebagaimana yang wajar, inisiatif ini melibatkan semua kumpulan yang berkepentingan (stakeholders) kepada pendidikan dalam sama-sama untuk mendapatkan input mahupun sokongan padu bagi menggerakkannya.

Saya sendiri telah membuat beberapa lawatan ke sekolah di negara ini untuk melihat secara dekat akan perlaksanaan program-program pendidikan yang ada dan ingin mengetahui bahawa apa jua pembaharuan yang diperkenalkan itu sejajar dengan kehendaknya. Dari hasil lawatan-lawatan tersebut dan juga dari maklum balas para pengetua, guru besar dan guru-guru di sekolah-sekolah berkenaan, beberapa penemuan telah saya dapati yang mana pada pandangan saya memerlukan perhatian yang serius.

Di antara penemuan-penemuan yang saya maksudkan di sini adalah mengenai dengan pendekatan-pendekatan yang dipraktikkan di sekolah-sekolah dalam pembelajaran dan pengajaran khususnya mata pelajaran - mata pelajaran teras (core subjects) dan juga keadaan suasana persekolahan yang kurang kondusif.

Perkara-perkara ini telah saya suarakan dan bincangkan bersama-sama dengan ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan bagi sama-sama mengambil tindakan-tindakan pembaharuan yang sesuai mengenainya. Pembaharuan yang sudah dijalankan setakat ini salah satu daripadanya adalah mempergiatkan Pendidikan Jasmani dan Program-program Pendidikan Kokurikulum.

Adalah menjadi harapan saya supaya kerjasama rapat di kalangan sekolah-sekolah dan kementerian akan terus dipergiatkan lagi bagi sama-sama untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan negara ini. Saya juga berkesediaan untuk mendengarkan apa jua pandangan mahupun pemikiran dari para guru-guru sekalian dan untuk itu, insya-Allah sesi-sesi interaksi antara saya dan para Pengetua dan Guru-guru Besar akan kita laksanakan tidak lama lagi.

Sebagaimana jua yang saya sebutkan awal tadi, mempergiatkan Pendidikan Jasmani sebagai 'complementary' dan 'supplementary' kepada program dan kurikulum sekolah adalah merupakan sebagai salah satu daripada komponen pembaharuan yang dihasratkan akan membawa perubahan positif kepada suasana persekolahan.

Pendidikan Jasmani atau Physical Education (PE) memainkan peranan penting di dalam memupuk pertumbuhan dan perkembangan diri pelajar-pelajar dari aspek jasmani, mental, sosial dan emosi. Perkara ini adalah sebagaimana jua yang selalu kita dengar iaitu 'otak yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat.' Ianya juga memberikan nilai tambah kepada pelajaran-pelajaran lain merentasi kurikulum. Dalam kehidupan moden sekarang dan juga pada masa akan datang dan dengan melihat keadaan fizikal sebahagian pelajar-pelajar kita, kegiatan kecergasan dan kesukanan dalam Pendidikan Jasmani semakin diperlukan. Pendidikan Jasmani memberi ruang kepada pelajar-pelajar dalam sistem dan program pendidikan untuk melakukan secara berkumpulan, berpeluang untuk berinteraksi kegiatan-kegiatan jasmani secara berkumpulan, berpeluang untuk berinteraksi secara sihat dan melahirkan kreativiti positif pelajar-pelajar. Apa yang diharapkan perkara ini akan menyemarakkan lagi suasana persekolahan menjadi riang ceria dan menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang lebih menyeronokkan kepada pelajar-pelajar.

Kini, mata pelajaran Pendidikan Jasmani mempunyai peruntukan waktu kurikulum yang khusus dan juga garis panduan melalui sukatan pelajaran menengah atas yang diterbitkan. Kejayaan perlaksanaannya banyak bergantung kepada guru-guru yang mengajarkannya. Pendidikan Jasmani bukan sekadar hanya membuat aktiviti fizikal tetapi juga dilengkapi dengan ilmu bantu yang perlu diketahui dan diikuti seperti asas Sains Sukan, peraturan-peraturan kesukanan dan pertandingan, pengurusan keselamatan dan aspek-aspek lain yang perlu dipatuhi. Untuk itu, Kementerian Pendidikan amat menyedari akan pentingnya guru-guru yang mengajar pendidikan jasmani dibekalkan dengan pengetahuan, kapasiti, pedagogi dan kemahiran yang terkini dalam bidang tersebut.

Apa yang difahamkan, kita masih mempunyai kekurangan dari segi peralatan, tenaga pengajar bahkan juga infrastruktur kemudahan untuk mengadakan Pendidikan Jasmani. Walau bagaimana pun ia bukanlah sebagai penghalang bagi sekolah-sekolah untuk mengadakan program tersebut. Usaha-usaha sedang dipergiatkan oleh jabatan-jabatan dalam Kementerian Pendidikan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Walau bagaimanapun, saya sukacita ingin menyeru kepada kita semua untuk membuat anjakan 'mindset' dan bergerak secara berpasukan dalam sama-sama memastikan apa jua usaha-usaha pembaharuan yang kita laksanakan itu akan membuahkan hasil kejayaan sebagaimana jua yang dihasratkan.

Akhirnya, dengan mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala, saya sukacita merasmikan Pelancaran Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Menengah Atas.

Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Dimuat turun dari http://www.brunet.bn/news/pelita/10mei/haluan.htm

No comments:

GREETINGS


I made this widget at MyFlashFetish.com.

(Encontras) Tu Trouveras - Natasha St. Pierre e Miguel Bose